Monday, September 20, 2010

Struktur Hamlet

Oleh Rozilawati Binti Mohd Zin
20111017

Antara tema yang terdapat dalam naskah teks Hamlet ialah:

i. Membalas dendam.
Tema utama dalam teks Hamlet ini adalah tentang membalas dendam. Sebetulnya pernah berlaku peperangan dan perebutan kuasa antara mendiang raja (bapa Hamlet) dan bapa Fortinbras (kerajaan Norway). Kemenangan raja Denmark telah meninggalkan kesan dendam. Ini berlarutan kepada Fortinbras, akan tetapi dendam itu tidak dilaksanakan, Hamlet dengan mudah menyerahkan Denmark kepada Fortinbras. Oleh Hamlet (Babak 5; adegan kedua);

Tapi kulihat ramalan cahaya pemilihan pada Fortinbras. Kuberi suara ajalku padanya;
Beritahu dia seada – adanya tentang kejadian ini, yang menyebabkan daku – yang selebihnya sunyi.

Hal yang lebih ironinya, ialah dendam Hamlet. Bagaimana halnya dia menuntut bela terhadap Claudius. Adegan di dalam bilik Gertrude memaparkan bagaimana Hamlet secara tidak sengaja membunuh Polonius yang bersembunyi di sebalik kain tirai. Khabar berita kematian Polonius menyebabkan Ophelia sedih, lalu membunuh diri yakni mati lemas. Di atas kematian kedua – dua ahli keluarganya, Laertes menaruh dendam terhadap Hamlet. Laertes menjadi sekutu Claudius. Lihat ini (babak 4; adegan keenam):

Claudius: “pedang yang tajam dan dengan sekali tikam, membela kematian ayahmu”.
Laertes : “dan untuk itu akan hamba tambah salap pada pedang hamba. Dari tukang ubat telah hamba beli racun, pabila pisau yang tercelup ke dalamnya, membuat luka maka tiada penawar”.

Muslihat Claudius adalah dengan memalit racun pada pedang Laertes, lalu menikam Hamlet. Pedang beracun itu juga tidak membantu Laertes, Hamlet menukar pedang tanpa Laertes sedar. Akhirnya beliau mati, dan Claudius pula ditikam dan dipaksa meminum racun yang diisinya di dalam gelas.

ii. Realiti dan kenyataan.
Shakespeare juga melakukan penyelidikan terhadap tema kesukaannya dalam sesebuah naskah, iaitu perbezaan antara realiti dan kenyataan. Ringkasnya tema ini distrukturkan dengan persoalan yang ‘bermain di dalam’ dan diberi jawapan antara dua; sama ada realiti atau kenyataan. Berikut adalah dua perihal contoh yang berkaitan dengan tema ini, di dalam naskah Hamlet:

o Kenyataan mengatakan raja mangkat kerana telah dipatuk ular tapi pada realitinya dia diracun.
o Semenjak Hamlet bertemu lembaga yang dikatakan roh raja, kenyataan apabila dia dikhalayak seperti tidak siuman tapi realitinya dia masih waras.

Hamlet memiliki paksi-paksi plot iaitu eksposisi, konflik utama, aksi menegak, dan klimaks peleraian.

Teks Hamlet ini mempunyai kronologi yang disusun melalui lima babak dan terdapat adegan yang disesuaikan mengikut cerita yang digambarkan oleh penulis. Setiap babak mempunyai konfrontasi yang bakal menghidupkan tragedi dan melaksanakan klimask.

Teknik memperkenalkan watak Hamlet dalam babak yang pertama disebut sebagai eksposisi; dengan memperkenalkan watak utama dan mempertontonkan konflik pada peringkat awal. Pengarang memperlihatkan ekposisi melalui adegan dalam babak yang pertama, iaitu menyoroti keadaan Hamlet yang kesedihan, kebingungan dan kecewa setelah kemangkatan raja (bapanya). Keadaan ini ditambah pula dengan ibunya yang mengahwini bapa saudaranya Claudius. Tidak lama selepas itu, khabar berita tentang kemunculan lembaga menyerupai raja yang diceritakan oleh Horatio menyalakan keinginan Hamlet untuk melihat lembaga tersebut.

Berikut ialah dialog yang diambil daripada teks Hamlet, merujuk pada pertemuan Hamlet bersama roh raja Denmark pada babak pertama dalam adegan ke-5 yang menjadikan ia sebagai konflik utama;

Sedang aku dalam lena, pamanmu mencuri masuk
Sambil membawa getah pohon hebenon celaka
Corong telingaku; cairan yang berdendam kesumat
Dengan darah manusia, dan cepat seperti air raksa
Ia mengalir melalui pintu gerbang dan lurah – lurah
Pembuluh tubuhku; dan dengan tenaga yang mendadak
Ia mengentalkan darah ku yang tadinya cair nipis lagi sihat.
Demikianlah yang terjadi padaku; dan serta merta berkecambahlah kudis
Kerak kusta yang jijik lagi kotor.
Di seluruh tubuhku yang licin.
Demikianlah, ketika tidur, aku kehilangan hidup.

Setelah Hamlet mendengar ucapan perkhabaran ini, dia bersumpah akan menuntut bela. Babak pertama ini, teks memperkenalkan tragedi sebelum dikupas menjadi klimaks atau lebih mencabar pada babak yang seterusnya.

Pada babak kedua, ketiga dan keempat ia saling mempunyai hubungkait dan pengarang mendatangkan dua tragedi dan menambahkan krisis dalam teks ini.

Aksi menegak seperti Hamlet berpura-pura gila dan menyembunyikan rancangannya untuk menuntut bela terhadap Claudius. Dia bertambah yakin apabila melihat aksi Claudius ketika Lucianus melakonkan sandiwara menuang racun (babak 3; adegan kedua);

“Pikiran gelap, tangan siap, racun sedia, dan waktunya sesuai; kesempatan bersengkongkolan, tiada makhluk yang mematai; kau racun jahat, dari daun – daunan tengah malam, dengan sumpahan Hecate tiga kali jahatnya dan tiga kali kuatnya, itulah sifat hikmat jahatmu. Yang asal, laksanakan pengaruhmu pada jasad sihat ini”.

Konflik mula berkembang dan watak bekerja dengan lebih terperinci. Penulis menambah tragedi yang malang dalam teks ini (babak 3; adegan keempat), Polonius mati ditikam, Hamlet pada mulanya mengingatkan itu adalah Claudius yang bersembunyi di balik kain. Kematian Ophelia dikatakan mati lemas (babak 4; adegan keenam) adalah sisi tragedi yang kedua yang terpenting, ia untuk menunjukan idea pengarang bahawa bukan Hamlet sahaja yang meratapi kematian bapanya. Kemudian pengarang mendatangkan krisis membalas dendam oleh Laertes terhadap Hamlet yang menjadi habuan cerita ini. Watak Hamlet dan Laertes ini sebenarnya mempunyai persamaan yang relevan akan tetapi diolah dalam versi yang berbeza.

Seterusnya, teks ini menghampiri klimaks peleraian iaitu puncak cerita. Peringkat klimaks peleraian yang dirungkaikan melalui beberapa kematian watak penting pada babak akhir telah membina identiti sebagai naskah yang terkenal dengan himpunan ‘catastrophe’.

Klimaks penting yang dileraikan dalam naskah ini dapat kita lihat apabila, Laertes membalas dendam di atas kematian Polonius dan Ophelia melalui babak yang terakhir pada adegan keenam. Claudius telah menawarkan bantuan untuk menghapuskan Hamlet. Permainan lawan pedang yang dinilaikan mempunyai maksud tertentu telah berlaku kesilapan apabila pedang yang disalut racun itu mengenai Laertes, juga Hamlet yang sempat menukarkan pedang tanpa Laertes sedar. Racun dibubuh dalam minuman untuk diberi pada Hamlet akan tetapi diminum ratu.

3) ‘Catastrophe’:

Pengisian tragik yang pelbagai dalam teks ini mengambarkan sub-plot yang kreatif yang tidak hanya tertumpu pada suatu peristiwa sahaja. Keseluruhan teks ini telah digarap dengan setiap watak akan mengalami ‘catastrophe’ yakni bencana. Catastrophe sebenarnya membawa penonton melalui keadaan peripety (mengharapkan keadaan berubah menjadi baik atau sebaliknya). Kejadian yang menimpa watak Polonius, Hamlet, Ophelia, Claudius, Laertes dan Gertrude adalah sorotan yang tersirat dalam teks ini. Dendam, kesedihan dan ketamakan membawa kepada bencana pada akhirnya. Seperti Hamlet menikam Polonius dan Claudius. Gertrude terminum racun yang diisi oleh Claudius, (babak 5; adegan kedua);

Ratu: Di sini aku terbaring dan tidak akan bangun-bangun lagi. Ibumu terkena racun. Aku tak dapat lagi – Rajalah yang bersalah.

Kesedihan Ophelia tidak tertahan lagi, dia merasakan Hamlet bertindak kejam terhadap dirinya dan khabar yang mengatakan Hamlet membunuh bapanya menambah luka di jiwanya. Dia yang kecewa dengan keadaan yang berlaku disekelilingnya bertindak membunuh diri. Kedua peristiwa ini, membawa lara dan marah pada Laertes.


Dalam Hamlet terdapat kedudukan istimewa naskah dalam naskah iaitu The Mousetrap. Ia adalah persembahan yang penuh dengan tragedi diselitkan dengan ungkapan yang dramatik seperti The Mousetrap. Keistimewaan ungkapan ini adalah menunjukkan seseorang itu yang sanggup berbuat apa sahaja untuk kesenangan. Teks merujuk pada babak yang ke-3 dalam adegan keempat:

Apa ini, tikus? Mati untuk seduit. Mati!

Kenyataan ini mengungkap pada watak Claudius, sebelum Hamlet melihat gerangan dibalik kain yang dia tikam. Ungkapan ini istimewa dalam memperlihatkan agenda seseorang itu yang cuba menjahanamkan rukun tetangga. Dalam erti kata lain, ini adalah sindiran diplomatik.

No comments:

Post a Comment