Monday, September 20, 2010

Politik Claudius Dalam Hamlet

Oleh Norismal Yusry Bin Ismail
20111007

Menurut teks Hamlet, watak Claudius merupakan adinda kepada mendiang raja Hamlet, yang menjadi pemerintah Denmark. Setelah kemangkatan raja Hamlet, Claudius telah ditabalkan menjadi raja Denmark yang baru. Disamping itu juga, Claudius turut mengahwini balu raja Hamlet yang juga iparnya, iaitu permaisuri Gertrude. Peranan utamanya dalam teks ini adalah bagi menimbulkan kekeliruan dan perasaan amarah Hamlet serta mempengaruhi Hamlet dalam pencariannya tentang makna kehidupan dan kebenaran setelah kemangkatan bapanya.

Pada asasnya, Claudius sememangnya seorang ahli politik yang pintar dan bijak mengambil peluang yang terhidang kepadanya. Sebagai seorang politikus yang hipokrit dan korup, Claudius begitu mahir memanipulasi serta mempengaruhi orang disekelilingnya melalui ucapan-ucapannya. Sebagai contoh, untuk mengelakkan daripada berlakunya pemberontakan dikalangan rakyat jelata setelah kemangkatan Raja Hamlet, Claudius menyatakan dia turut bersedih dan berasa kehilangan. Oleh itu Claudius meminta rakyat agar bersatu demi mendiang raja.

Manipulasi terbaik yang berjaya dilakukan oleh Claudius adalah apabila berjaya mempengaruhi Rosencrantz, Guildenstern dan Laertes dalam menyekat kebangkitan Hamlet. Sedang Rosencrantz dan Guildenstern begitu mengambil berat terhadap kawan mereka baik mereka, Hamlet, mereka tanpa menyedari telah digunakan oleh Claudius sebagai pemberi maklumat. Bahkan mereka juga turut menjadi utusan yang bakal menyebabkan Hamlet dibunuh di England. Laertes pula yang mendendami Hamlet atas kematian bapanya Polonius dan adiknya Ophelia merupakan alat yang terbaik bagi Claudius untuk membunuh Hamlet tanpa mengotorkan tangannya sendiri.

Sebagai raja Denmark yang baru, pemerintahan Claudius yang dipenuhi korupsi mengalami masalah menguruskan hubungan diplomatik dengan baik terutama dalam konflik berkaitan putera Norway, Fortinbras. Berbanding mendiang raja Hamlet, Fortinbras tidak sedikitpun menghormati Claudius sebaliknya merancang untuk menyerang Denmark. Oleh itu Claudius terpaksa menghantar Voltimand dan Cornelius sebagai utusan bagi memujuk raja Norway agar menasihati anak saudaranya iaitu Fortinbras supaya tidak menyerang Denmark. Claudius mengakui:

"Now follows, that you know, young Fortinbras,
Holding a weak supposal of our worth, . . .
. . . He hath not fail'd to pester us with message,
Importing the surrender of those lands
Lost by his father. With all bonds of law,
To our most valiant brother"
(Act I, scene ii, pg 12.)

Dalam pada itu, Claudius adalah seorang yang tamak dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata memenuhi keinginannya. Namun Claudius bijak menyembunyikan ketamakan kuasanya itu dengan kemahiran manipulasi yang dimilikinya. Demi merampas tahta daripada raja Hamlet, Claudius sanggup membunuh abang kandungnya itu dengan menuangkan racun ke dalam telingannya. Percaturan Claudius yang bijak, pantas menghapuskan jejak pembunuhan kekandanya serta dengan segera menabalkan dirinya sebagai pengganti raja sebelum sempat Hamlet pulang ke istana.

Walaupun Claudius benar-benar mencintai Gertrude, namun pada masa yang sama tindakannya mengahwini Gertrude itu kelihatan seperti suatu langkah bernas bagi memastikan tahta Denmark berada di tangannya tanpa diganggu gugat oleh Hamlet. Secara tidak langsung, Claudius mempengaruhi Gertrude bagi mengawal tindak tanduk puteranya itu.

Disebalik keburukan diri Claudius itu terselit secebis ciri-ciri kelembutan dan kasih sayang. Dia begitu menyanyangi Gertrude sehinggakan tidak sanggup membunuh sendiri Hamlet demi Gertrude. Selain itu, dia juga menyayangi Ophelia seperti anaknya sendiri dan turut bersipati terhadap kematian bapa Ophelia iaitu Polonius.

Selain itu, Claudius juga turut merasa bersalah dan menyesali perbuatan yang telah dilakukannya:

"o, my offence is rank it smells to heaven,
It hath the primal eldest curse upon’t,
A brother’s murder. Pray can i not,
Though inclination be as sharp as will:
My stronger guilt defeats my strong intent;"
(Act III, Scene iii, pg 82 – 83)

Claudius juga turut berdoa kepada tuhan untuk memohon keampunan namun dia juga menyedari bahawa dia tidak mungkin akan dapat meninggalkan perbuatan buruknya:

“My fault is past. But O, what form of prayer
Can serve my turn? "Forgive me my foul murder"?
That cannot be, scince I am still possess'd
Of those effects for which I did the murder,
My crown, mine own ambition, and my queen.”
(Act III, Scene iii, pg 83)

Dengan ketamakan yang begitu menguasai diri Claudius, demi untuk mengelakkan dirinya daripada dikaitkan dengan komplot percubaan membunuh Hamlet, dia sanggup membiarkan Gertrude meminum racun yang terdapat pada bekas minuman Hamlet. Perkara ini berlaku sewaktu pertarungan lawan pedang antara Hamlet dan Laertes.

Jika dilihat sejak bermulanya ketamadunan manusia sehinggalah ke hari ini, watak seperti Claudius ini sememangnya begitu sinonim dengan suasana politik dunia. Di mana sahaja pastinya ada para politikus yang hipokrit dan mementingkan diri sendiri. Mereka ini tanpa segan silu menyalahgunakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat agar memimpin dan membangunkan negara. Sebaliknya kesempatan yang ada digunakan untuk mengumpulkan kekayaan diri secepat mungkin sebelum penggal berakhir. Sifat nepotisme dan kronisme yang bertunjangkan korupsi ini akan berterusan selagi mana rakyat dapat digula-gulakan sewenang-wenangnya.

Para penyalahguna kuasa ini juga akan menggunakan segala instrumen dan sumber yang dimiliki seperti badan penguatkuasa mahupun media massa agar perbuatan buruk mereka sentiasa terselindung daripada pengetahuan rakyat. Lebih memalukan apabila nilai agama turut digunakan sebagai topeng dalam penipuan mereka tanpa rasa bersalah atau gerun terhadap tuhan.

Kesimpulannya Claudius boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang menjadikan kuasa dan kemewahan sebagai matlamat utama hidupnya. Dalam mencapai impiannya itu, dia sanggup menggunakan apa sahaja cara hatta melakukan jenayah sekalipun. Watak Claudius ini merupakan suatu metafora sifat buruk lumrah manusia yang sentiasa mementingkan diri, tamak, bertuhankan nafsu serta bersekongkol dengan korupsi. Pendekatan di mana matlamat menghalalkan cara nampaknya semakin galak berlaku dikalangan masyarakat kita dewasa ini semata-mata rakus mengejar kuasa dan kemewahan dengan jalan singkat.

Kematian watak Claudius dalam keadaan hilang kekuasaan dan harta yang dikumpulkannya selama ini seharusnya dijadikan suatu sempadan agar dapat melahirkan sebuah suasana politik yang sihat dalam negara kita. Walau bagaimanapun, selagi para pemain politik masih berkiblatkan dunia, maka selagi itulah kita sebagai rakyat marhain ini terpaksa menerima tempias kebobrokan mereka itu. Lebih buruk lagi jangan sampai kita juga mati seperti Claudius, mati sebagai seorang pengecut.


Rujukan:

1. The Tragedy Of Hamlet, Prince of Denmark
2. Brooks, Jean. Macmillan Master Guides Hamlet. London, Macmillan Education LTD, 1986.
3. http://absoluteshakespeare.com/guides/hamlet/characters/characters.htm
4. Mabillard, Amanda. Introduction to Claudius. Shakespeare Online. 20 Aug. 2000.
5. Crawford, Alexander W. Hamlet, an ideal prince, and other essays in Shakesperean interpretation: Hamlet; Merchant of Venice; Othello; King Lear. Boston, R.G. Badger, 1916. Shakespeare Online. 20 Aug. 2009.




No comments:

Post a Comment